Friday, 10 July 2026

JUBLI EMAS 50 TAHUN PUSAT LATIHAN KEJURUTERAAN PERTANIAN TANJONG KARANG

 

1.      SEJARAH & LEGASI

            Pusat Latihan Kejuruteraan Pertanian Tanjong Karang adalah premis kerajaan negeri yang dibangunkan khusus untuk memberi latihan formal dan intensif didalam bidang kejenteraan, mekanisasi dan kejuruteraan pertanian kepada belia Negeri Selangor dibawah Program Belia Tani. Pentadbiran Pusat Latihan Kejuruteraan Pertanian Tanjong Karang adalah di bawah bidang kuasa dan seliaan Jabatan Pertanian Negeri Selangor.

Sijil Tamat Latihan Kursus Mekanik Jentera Pertanian 1988

Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) – Tahap Pertengahan

            Pusat ini telah dibuka pada bulan November 1975. Pada awal penubuhan, ia telah diberi nama Pusat Latihan Ladang Berjentera (PLLB). Pada tahun 1977, nama pusat latihan ini telah ditukar kepada Pusat Latihan Berjentera (PLB). Berikutnya pada tahun 1985, ia telah bertukar nama kepada Pusat Latihan Kejuruteraan Ladang (PLKL)  dan terakhir pada tahun 90-an ditukar nama kepada Pusat Latihan Kejuruteraan Pertanian (PLKP) sehingga kini.

Aktiviti di bilik kuliah

            Keseluruhan kawasan premis adalah seluas 30 ekar dan telah diwartakan sejak tahun 1984. Sebahagian 12 ekar telah diperuntukan untuk infrastruktur seperti pejabat, blok asrama pelajar, bengkel latihan & pembaikan, dewan makan, stor, padang bola serta gelanggang permainan. Keluasan selebihnya digunakan khusus untuk latihan amali/praktikal melalui Kursus Kejenteraan Pertanian (Program Belia Tani).



Koleksi gambar lama aktiviti latihan yang dilaksanakan di bengkel

1.      PERANAN  & TANGGUNGJAWAB

Aktiviti operasi disc plough di ladang

Matlamat utama Pusat Latihan Latihan Kejuruteraan Pertanian adalah berkongsi ilmu dan pengetahuan melalui latihan kemahiran secara formal dan intensif yang melibatkan latihan pengendalian jentera-jentera pertanian seperti traktor dan "backhoe loader" bersama penggunaan “implement”/pembajak pertanian dengan kaedah yang betul, tepat dan selamat tanpa mengabaikan penekanan pembangunan sahsiah yang positif dan disiplin yang tinggi.

Aktiviti latihan operasi rotovator di ladang

Aktiviti latihan pengendalian backhoe loader

Sebahagian kawasan tanah lapang dengan sengaja dibiarkan bersemak samun adalah untuk latihan simulasi sebenar kepada peserta Kursus Kejenteraan Pertanian agar dapat menjalani latihan amali dan kemahiran seperti membajak tanah pelbagai peringkat sehingga membuat batas, menanam dan lain-lain aktiviti pertanian dan di akhiri dengan pengeluaran hasil yang bertujuan sebagai pendedahan kepada realiti / situasi di kebanyakan tapak projek pertanian.

Sesi taklimat keselamatan dan ujian bersama Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor

            Peserta yang telah berumur 21 tahun dan keatas serta telah memenuhi syarat minima, akan ditawarkan untuk mendapatkan lesen memandu jentera berat (lebih 5,000 kg) kelas "H" yang akan dikeluarkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor (JPJ).

Kursus operasi dron pertanian

        Selain Program Belia Tani, Pusat Latihan Kejuruteraan Pertanian juga melaksanakan kursus jangka pendek di bawah Program Golongan Sasar yang menyediakan ruang perkongsian ilmu didalam bidang mekanisasi, kejenteraan dan kejuruteraan pertanian kepada semua “stake holder” yang terkait didalam sektor pertanian bukan sahaja golongan belia malah orang awam, pelajar sekolah, penuntut pengajian tinggi, agensi kerajaan, badan berkanun, pihak swasta serta kepada sesiapa yang berminat mengembangkan pengetahuan sejajar dengan teknologi pertanian yang terkini.

Kursus off grid solar installation untuk projek pertanian
          Orang awam atau sesiapa yang berminat untuk mengikuti kursus, boleh mengisi borang di pejabat pertanian berhampiran di daerah atau melalui borang atas talian berdasarkan takwin yang telah disusun sepanjang tahun mengikut keperluan peserta.

Kursus aplikasi internet of thing (IOT) didalam projek fertigasi

Sebagai pusat latihan yang melaksanakan program pengembangan pertanian, pusat ini juga bersedia untuk melaksanakan kursus latihan  yang khusus atau berkeperluan khas daripada agensi kerajaan mahupun pihak swasta termasuk sekolah berdasarkan permohonan dan kelulusan Pengarah Pertanian Negeri Selangor.

1.      DATA & STATISTIK

Berikut adalah sebahagian data dan statistik yang merujuk kepada Program Belia Tani / Kursus Kejenteraan Pertanian yang telah dilaksanakan sejak awal penubuhannya. Kursus pertama telah dilaksanakan pada 1976 bermula dengan tajuk Kursus Memandu Traktor, kemudian bertukar kepada Kursus Memandu & Menyelenggara Traktor pada 1987 (MLVK) dan terakhir Kursus Kejenteraan pertanian dari 1997 sehingga kini.



Berikut adalah carta taburan jumlah peserta kursus yang telah mengikuti Kursus Kejenteraan Pertanian / Program Belia Tani sejak tahun 1977 sehingga 2019. Dari keseluruhan peserta seramai 2149 orang, majoriti datang dari 2 daerah yang terkenal sebagai kawasan jelapang padi Selangor iaitu daerah Kuala Selangor dengan 840 peserta mewakili 39 peratus dan daerah Sabak Bernam dengan jumlah 596 peserta mewakili 28 peratus dari keseluruhan daerah.

Merujuk kepada graf di atas adalah data taburan umur peserta yang telah mengikuti Kursus Kejenteraan Pertanian dari 2007 hingga 2019. Jumlah tertinggi penyertaan adalah mereka yang berumur 18 tahun seramai 142 orang. Peserta yang berusia lebih 40 tahun adalah kakitangan Kerajaan dan bakal pesara tentera dengan jumlah terkumpul seramai 9 peserta. 

Graf di atas adalah keputusan penilaian menggunakan kaedah ujian amali seperti aktiviti undur traktor bersama treler dan buka serta pasang “implement”/pembajak dengan menilai tahap keselamatan operasi bagi tempoh 2007 sehingga 2019. Kaedah teori juga dilaksanakan dibilik kuliah agar peserta dapat mengenalpasti  komponen, fungsi dan kedudukan komponen yang telah dileraikan termasuk penceritaan bagaimana sesuatu sistem beroperasi. Penilaian di bengkel pula akan melibatkan aktiviti “engine troubleshooting” untuk memastikan pelatih menguasai “standard operating procedure” (SOP) bagi mengesan dan seterusnya menyelesaikan masalah operasi enjin.


1.      PENCAPAIAN & SUMBANGAN


Bagi menilai sejauh mana keberkesanan perlaksaan Program Belia Tani / Kursus Kejenteraan Pertanian, berikut adalah soal selidik tidak rasmi yang telah dilancarkan bermula pada Disember 2024 sehingga Januari 2025. Kaedah sebaran soal selidik telah menggunakan media sosial seperti “Facebook” dan “What’sapp”. Aplikasi “Google Form”  telah digunakan sebagai media maklumbalas dan analisis data terkumpul. Seramai 70 orang bekas peserta kursus telah memberi kerjasama untuk memberi maklum balas. Berikut adalah antara temuan yang diperolehi berdasarkan soalan yang telah disediakan.

Majoriti sebanyak 37.1 peratus responden bekerja sendiri selepas menamatkan  Program Belia Tani, manakala 31.4 peratus masing-masing terlibat dengan kerjaya di sektor awam dan sektor swasta. Responden yang terlibat dengan sektor swasta dan awam lazimnya akan menjawat jawatan sebagai operator jentera berat atau mekanik mesin kecil dan jentera berat.

Sektor awam yang memilih bekas peserta Kursus Kejenteraan Pertanian sebagai kakitangan biasanya adalah dari jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian, agensi badan berkanun seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (Jentera) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagi pecahan kepada mereka yang bekerja sendiri, sejumlah 47.7 peratus responden mempuyai kerjaya yang sangat terkait dengan Program Belia Tani, manakala 69.9 peratus masih terlibat dengan sektor pertanian namun didalam pelbagai sub sektor seperti usahawan industri asas tani. Sejumlah 37.1 peratus responden mempunyai kerjaya yang tidak memerlukan pengetahuan didalam bidang kejenteraan pertanian.

Dari segi pemilikan lesen, 38.6 peratus responden telah memiliki lesen kelas “H” jentera berat beroda lebih 5,000 kg. Ia adalah inisiatif pihak Jabatan Pertanian Negeri Selangor sebagai pelengkap Kursus Kejenteraan Pertanian. Sejumlah 58.6 peratus responden tidak memiliki lesen memandu jentera kerana tidak memenuhi syarat umur 21 tahun ketika mula mendaftar mengikuti kursus. Pemilikan lesen bagi kelas jentera yang lain dengan jumlah keseluruhan 17.1 peratus adalah diatas inisiatif responden untuk menaiktaraf perkhidmatan yang memerlukan jentera berbeza selepas menamatkan kursus.

Merujuk kepada graf diatas, didapati 85.7 peratus responden telah memiliki jentera dari jenis traktor. Sejumlah 12.9 peratus pemilikan jentera dari jenis “front end loader” manakala 48.6 peratus pemilikan jentera adalah dari jenis “backhoe loader”. Kesemua jentera berat tersebut adalah dari kategori jentera berat beroda.

Untuk kategori jentera berat berantai, 28.6 peratus mewakili pemilikan “excavator”, 17.1 peratus adalah pemilikan jentuai padi/“combined harvester” dan 11.4 peratus mewakili “bulldozer” / jentolak.

Dapatan soal selidik terakhir melibatkan maklum balas responden dengan jumlah 98.5 peratus berpendapat, Program Belia Tani / Kursus Kejenteraan Pertanian telah memberi manfaat kepada mereka.

Merujuk kepada keperluan menaiktaraf seperti akreditasi persijilan dan silibus, didapati 97.1 peratus responden telah bersetuju dengan kenyataan tersebut agar program sediada selari dengan keperluan perkembangan teknologi terkini.

 

 Rujukan : https://docs.google.com/forms/d/1wkaERJlSF8jG1T9b23Atv1eUgBMb8g3qMteZGVgzBlo/edit

BEKAS PESERTA PROGRAM BELIA TANI /KURSUS KEJENTERAAN PERTANIAN

En. Mohd Aziz Bin Mungi
Alumni Tahun 1980
En. Faizrol
Alumni Tahun 2022
En Azfar Bin Noraini
Alumni Tahun 2011
En Adnan Bin Mustajab
Alumni Tahun 2009

Dengan kewujudan Pusat Latihan Kejuruteraan Pertanian Tanjong Karang yang telah berusia selama 50 tahun, ia kerap menjadi pilihan sebagai rujukan dan penyedia latihan formal seperti “upskilling” kepada kakitangan Jabatan Pertanian (Persekutuan) dan tenaga pengajar  pelbagai agensi luar Kolej Vokasional (Pertanian) seluruh Malaysia, Badan berkanun seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB-PLASMA) dan Institut Latihan Mekanisasi Dan Automasi Peladang (ILMAP) Panji serta delegasi pegawai pertanian dari negara luar.

Kursus sehari murid sekolah menengah
@ FB : PLKP Tanjong Karang

@FBPLKP Tanjong Karang

Kursus “upskilling” pensyarah & tenaga pengajar Kolej Vokasional (Pertanian) dari seluruh Malaysia
@ FB : PLKP Tanjong Karang


Oleh : Admin

0 ulasan / comments: